Feeds:
Posts
Comments

Archive for February, 2012

Cinta itu berbisik
Menggamit setia sebuah kasih abadi
Bertaut dalam sudut hati

Yang jauhnya sukar aku jangkau
Aku terpesona dengan ciptaan Ilahi
Sebentar aku hilang dalam lamunan
Tersentak aku hiba
Terkilan rasa dihati
Saat tersedar aku dilamun
Keindahan bisikan cinta

Adakah dosa bagiku Ya Allah?
Aku dibuai pesona wajahnya
Terdetik kesal saat khilaf
Membuka mata
Namun gelora jiwa ini terus membadai
Membawa helaian cinta
Yang aku sendiri tidak memahami kebenarannya.

Ya Allah
Andai cinta ini anugerahmu
Andai cinta ini bisikan darimu
Andai cinta ini milikku
Peliharalah hati ku dan hatinya
Agar cinta ini bersemi
Di atas landasan Perjuangan islam

Ya Allah
Aku redha mencinta
Dan dicintai
Jika ini ketentuan Ilahi
Akan ku simpan bisik hati ini
Sehingga harinya terpatri
Dua jiwa bersemi

– Artikel iluvislam.com

Read Full Post »

Pesanan buatmu bunga dunia
Andai ada di antara kamu yang gagal

Dalam berhajat mendapatkan cinta kaum Adam
Usahlah engkau berhati walang

Usah ditanya apa salah kamu pada dia
Jangan disoal apa kurangnya kamu dan apa lebihnya dia
Sebaliknya bungaku
Ucaplah syukurmu pada Dia
Yang telah memilih kamu untuk merasa kecewa
Dalam berhajatkan cinta insani

Tempiaskan tangismu dan bisikkanlah laramu
Hanya pada Dia yang amat Pemurah
Kerana telah meminjamkan cinta itu kepada kamu
Adat meminjam haruslah dipulangkan
Jangan pernah kau lupa akan kebenarannya itu

Pasti engkau masih dalam dilema bungaku
Masakan aku meminta kamu bersyukur bukan
Pasti kamu merasakan yang aku gembira atas kesedihan kamu
Tetapi itu semua jauh dari benar
Aku pinta kamu bersyukur kerana harga kamu terlalu bernilai
Kerana itu kamu tidak layak dimiliki oleh insani yang tidak berhajat
Membawa hubungan itu kepada akad pernikahan
Kerana itu engkau harus bersyukur
Bersyukur kerana engkau terlepas dari tipu daya dunia
Terhindar dari cinta yang dusta
Dan terpisah dari seorang Adam yang tidak berniat menjadikan Hawa sebagai surinya
Doakan saja semoga hilangnya adalah hilang yang berganti.INSYAALLAH..

Duhai bungaku
Aku berpesan bukan hanya untuk kamu
Tetapi aku juga berpesan pada diriku
Aku sayangkan kamu wahai bungaku

– Artikel iluvislam.com

Read Full Post »

Dalam sebuah hadis yang sahih yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi berkata,

“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).”

Adakah ayat ini bermaksud bahawa wanita secara umumnya dijadikan oleh Allah daripada tulang rusuk lelaki? Sebenarnya,di dalam A-Quran Allah menyatakan dengan jelas manusia sebenarnya berasal dari nutfah (iaitu air mani yang sedikit) yang bercampur dengan benih wanita, kecuali nabi Adam yang berasal daripada tanah. Berhubung dengan ini dalam surah Al-Haj ayat 5 Allah menjelaskan:

“Wahai manusia apabila kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) kami menciptamu dari tanah , dan kemudian daripada nutfah.”

Oleh kerana kenyataan Al-Quran berhubung dengan kejadian manusia begitu jelas sekali, hadis tidak dapat mencanggahinya. Jesteru hadis ini, yang menyatakan wanita berasal dari tulang rusuk lelaki, tidak dapat ditafsirkan dari bentuk yang mencanggahi Al-Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini bukannya berkenaan asal-usul kejadian wanita sebaliknya berkenaan kepentingan menghormati dan menjaga wanita dengan baik. Jesteru, di dalam kitab Riadus Solihin, Imam Nawawi meletakkan hadis ini di dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga Kaum Wanita Dengan Baik’.

Di dalam kitab Dalilul Falihin, diriwayatkan bahawa Imam Qurtubi berkata,

“Wanita dicipta dalam batas dan keadaan seperti tulang rusuk,”

dan bukan dicipta dari tulang rusuk. Dalam bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk dalam bengkok adalah berbeza daripada tulang yang lain sebagaimana wanita berbeza dari kaum lelaki. Perbezaan ini mempunyai kepentingannya jesteru tulang rusuk tidak boleh dicaci kerana berkeadaan seperti itu kerana tanpanya manusia menghadapi masalah. Begitu juga dengan wanita, tanpanya kehidupan tidak sempurna. Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semulajadinya walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza dari kaum lelaki. Pihak lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semulajadinya dan tidak boleh bersikap keras terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati wanita dan bekerjasama bagi mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada peranannya dan kadang kala peranan itu berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan peranan tidak melambangkan kehinaan.

Berbalik kepad isu berkaitan kejadian kaum hawa daripada tulang rusuk kaum lelaki, sebahagian ulama berpendapat hadis ini membicarakan berkenaan hawa secara khusus. Mengikut pandangan mereka, hawa berasal daripada tulang rusuk Adam. Antara ulama yang berpegang dengan pandangan ini ialah sahabat Abdullah Bin Abbas, Abdullah Bin Mas’ud, Imam Mujahid, Ibnu Al-Munzir, Ibnu Humaid dan ramai lagi. Namun, apabila Al-Quran dirujuk mengenai perkara ini, kita tidak menemui sebarang dalil yang menyokong pandangan ini. Sebagai contoh, berhubung dengan kejadian Hawa, dalam surah An-Nisa’ ayat 1 Allah menjelaskan dengan bermaksud,

“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang mencipta kamu dari diri yang satu (iaitu Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”

Dalam ayat ini dan yang seumpamanya kejadian hawa tidak langsung dikaitkan dengan tulang rusuk Nabi Adam.

Sebenarnya, Al-Quran lebih mementingkan supaya kualiti dan maruah wanita dipelihara dan tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Dalam islam wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah sebagai hamba-hamba Allah. Sekiranya seorang wanita beriman dan beramal soleh dia diberi ganjaran yang tinggi dan diletakkan di tempat yang tinggi. Dalam surah Al-Imran ayat 195, Allah menyatakan yang bermaksud,

“Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan amalan orang yang beramal antara kamu baik dia lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.”

Tambahan daripada itu, Allah tidak pernah menghina ataupun memuliakan makhluk-makhluknya berdasarkan jantinanya. Sebaliknya kemuliaan seseorang adalah berdasarkan ketakwaannya. Berhubung dengan ini, dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah menjelaskan,

“Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa antara kamu,”

Hal ini adalah utama untuk difahami dan dihayati.

Read Full Post »

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal, disitulah suisnya.

Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau ‘women gladiator’. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja: negarawan, karyawan, jutawan dan “wan-wan” yang lain. Tidak akan lahir ‘superman’ tanpa ‘superwoman’.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.

Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan ‘secretary’, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan  kehilangan puteri.

Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu kepada-Nya.

Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Sayidina Ali.

Read Full Post »

Sejarah Asiah telah membuktik
Iman bukanlah penjara di jiwa
Yang selamanya bersembunyi
Tapi kemerdekaan yang hakiki
Yang punya wajah dan jua rupa
Akhirnya imanmu bersuara
Lantas kau dipenjara dan diseksa
Oleh suamimu yang dihina

Di kejauhan istana keangkuhan
Menggamit mata sayunya di jiwa
Namun hatimu tak sudi ke sana
Iman dan akidah lebih utama
Ratu syahadah lalu bermadah
Oh Tuhan binakan istana untukku
Walaupun di dunia ku diseksa
Namun tak terbayar nikmat di syurga
Oh Asiah kau merubah rencana
Bila tanganmu menyentuh bayi
Yang hanyut menongkah arus Sungai Nil
Lembutmu mematahkan keangkuhannya
Firaun merancang kau menghalangnya
Musa terbuang jadi terbilang.

Lirik lagu Ratu Syahada nyanyian kumpulan In-Team dengan indah menceritakan mengenai sejarah Asiah, isteri kepada Firaun yang kejam. Kisahnya yang menolak kemewahan dunia demi cinta dan kasih kepada Allah menjadi pembakar semangat kepada umat Islam seluruh dunia bagi menegakkan kebenaran agama Allah. Kisah Asiah ini harusnya diketahui dan diselusuri oleh kita umat Islam sebagai tauladan dalam mempertahankan agama Allah yang indah ini.

Di negeri Mesir terdapat kerajaan yang diketuai oleh raja yang terakhir bernama Fir’aun yang terkenal dengan kekejamannya. Setelah kematian isteri, beliau hidup sendirian. Pada ketika itu ada seorang gadis jelita daripada keturunan keluarga Imran yang baik-baik dan solehah yang bernama Siti Asiah dan sentiasa menjadi sebutan di kalangan pemuda-pemuda Mesir kerana keperibadian dan kejelitaannya.

Kisah kejelitaan Siti Asiah sampai ke telinga Fir’aun. Beliau yang mendengar kejelitaan Asiah ingin sekali menjadikan Asiah permaisurinya. Maka diutuskan seorang Menteri bernama Haman untuk merisik. Ibu bapa Asiah bertanya kepada tuan empunya diri tetapi Asiah menolak lamaran tersebut. Beliau berkata kepada kedua ibu bapanya bahawa Fir’aun adalah seorang raja yang ingkar kepada Allah SWT dan tidak berperikemanusiaan.

Tidak lama kemudian Haman, utusan Fir’aun datang kembali untuk bertanyakan tentang lamaran tersebut. Firaun terlalu marah setelah mendapat tahu yang lamaran Fir’aun ditolak. Ibu bapa Asiah dihina. Haman kemudian pulang dan memberitahu kepada Fir’aun akan berita buruk tersebut dan Fir’aun telah menjadi marah dan memerintahkan supaya kedua ibu bapa Asiah ditangkap. Mereka diseksa dan dimasukkan ke dalam penjara. Setelah itu Asiah ditangkap dengan menggunakan kekerasan dan kemudian dibawa ke istana Fir’aun dan bertemu dengannya. Di hapadapan Fir’aun, Asiah bertemu dengan kedua ibu bapanya di dalam penjara. Asiah sedih melihat keadaan kedua orang tuanya yang diseksa oleh Fir’aun.

Fir’aun berkata:
“Hai Asiah, jika engkau seorang anak yang baik, tentulah engkau akan sayang terhadap orang tuamu, maka oleh kerana itu engkau boleh pilih satu antara dua. Kalau kau menerima lamaranku bererti engkau akan hidup senang dan akan aku bebaskan kedua orang tuamu. Dan sebaliknya jika engkau menolak lamaranku,maka aku akan perintahkan mereka untuk membakar hidup-hidup kedua orang tuamu di hadapanmu.”

Oleh kerana ancaman itu, maka Siti Asiah terpaksa menerima pinangan Fir’aun. Namun beliau meletakkan beberapa syarat:
1. Fir’aun harus membebaskan kedua ibubapanya.2. Harus membuatkan rumah yang indah lengkap dengan perkakas3. Orang tuanya harus dijamin kesihatan beserta makan dan minumnya.4. Asiah bersedia menjadi isteri Fir’aun, hadir dalam acara-acara tertentu tetapi tidak bersedia tidur bersama Fir’aun.

Sekiranya permintaan-permintaan tersebut tidak dipersetujui, beliau rela mati dibunuh bersama kedua ibu bapanya.
Akhirnya Fir’aun bersetuju menerima syarat-syarat tersebut dan memerintahkan supaya Asiah dibebaskan. Kini Asiah hidup mewah dan tinggal bersama-sama Fir’aun di dalam istana yang indah. Namun harta yang melimpah tidak mempengaruhi kehidupan peribadi Asiah. Asiah tidak pernah engkar terhadap perintah agama. Beliau tetap taat mengerjakan ibadah kepada Allah SWT. Pada malam hari beliau selalu mengerjakan solat dan beribadah kepada Allah SWT. Beliau sentiasa berdoa agar kehormatannya tidak disentuh oleh orang kafir miskipun suaminya Fir’aun. Bagi menyelamatkan Asiah dan menjaga kehormatannya, Allah SWT menciptakan iblis yang menyamar dirinya sama seperti rupa Asiah untuk tidur bersama Fir’aun.

Fir’aun sebenarnya mempunyai seorang pegawai yang amat dipercayai dan rapat dengannya yang bernama Hazaqil. Hazaqil berjaya merahsiakan identitinya yang sebenar. Hazaqil amat taat dan beriman kepada Allah SWT. Beliau adalah suami kepada Siti Masyithah yang bekerja sebagai juru hias istana yang juga taat dan beriman kepada Allah SWT.

Pada suatu hari maka terjadilah perdebatan yang hebat antara Fir’aun dengan Hazaqil di mana Fir’aun menjatuhkan hukuman mati terhadap ahli sihir yang beriman kepada Nabi Musa AS. Hazaqil menetang keras hukuman yang dijatuhkan kepada mereka semua kerana mereka semuanya beriman kepada Allah SWT. Mendengar kata-kata Hazaqil, Fir’aun menjadi marah. Akhirnya Fir’aun mengetahui yang Hazaqil engkar kepada beliau. Hazaqil kemudiannya dijatuhkan hukuman mati. Hazaqil menerimanya dengan tabah dan tidak merasa gentar demi membela kebenaran. Hazaqil meninggal dunia dengan kedua-dua tangannya diikat pada pohon kurma dengan tembusan beberapa anak panah. Isterinya yang bernama Masyitah sedih sekali di atas kematian suaminya yang tersayang itu. Beliau sentiasa dirundung kesedihan dan tiada lagi tempat mengadu kecuali kepada 2 orang anaknya yang masih kecil. Pada suatu hari Masyitah mengadu nasib kepada Asiah mengenai nasib yang menimpa dirinya. Di akhir perbicaraan mereka, Asiah juga menceritakan keadaan dirinya yang sebenar. Hasil daripada perbicaraan itu, barulah kedua-duanya mengetahui perkara sebenar bahawa mereka adalah wanita yang amat beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa AS.

Asiah binti Mazahim merupakan seorang wanita Mesir yang baik budi pekertinya dan bijaksana dalam pemikirannya. Oleh kerana dia memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingan, dia dipaksa berkahwin dengan Firaun, raja Mesir yang berkuasa pada ketika itu.
Pada suatu hari ketika Asiah sedang duduk bersantai bersama dayang-dayang istana, dia terlihat sebuah kotak kayu terapung-apung di tepian sungai yang mengalir merentasi istana Firaun.

“Ambil kotak itu dan bawa kepada beta,” arah Asiah kepada salah seorang dayang yang berdiri di tepinya.

Dayang itu berlari pantas ke arah kotak yang sedang terapung-apung di tepian sungai. Dia mengangkat kotak kayu itu dari permukaan sungai lalu dibawakan kepada Asiah. Dia berdebar-debar untuk mengetahui isi kandungan kotak kayu itu.

“Comelnya bayi lelaki dalam kotak kayu ini!,” jerit hati Asiah apabila penutup kotak kayu itu terbuka.

Pada ketika itu, Firaun memerintahkan masyarakatnya membunuh semua bayi lelaki Bani Israel kerana dia bermimpi bayi tersebut akan menghancurkan dan membinasakan kerajaan pemerintahan Firaun.

Apabila berita penemuan bayi lelaki itu sampai ke telinga Firaun, maka dia bergegas ke tempat Asiah dan bayi lelaki itu.

“Pengawal! Bunuh bayi ini sekarang…” Perintah Firaun kepada pengawal yang mengiringinya ke kamar Asiah.

“Bukankah kita tidak mempunyai anak lelaki. Anak lelaki ini dapat kita jadikan anak angkat. Saya merayu supaya bayi ini tidak dibunuh kerana saya sudah sayang kepadanya.

‘Dia akan memberikan manfaat kepada kita berdua apabila dewasa nanti,” Asiah menghalang niat jahat Firaun dengan kata-kata bijaksananya.

“Baiklah. Saya tidak akan bunuh bayi ini kerana perasaan cinta saya pada kamu,” Firaun akur dengan permintaan isterinya, lalu keluar dari kamar itu.

Asiah memberi nama Musa kepada bayi tersebut dan memeliharanya sehingga dewasa di istana Firaun.

Apabila nabi Musa mula berdakwah menyebarkan ajaran Allah, maka Asiah terus menjadi salah seorang pengikutnya tanpa pengetahuan Firaun dan orang sekelilingnya.
Pada suatu hari, Asiah duduk menyisir rambut anak perempuannya di kamar tidur. Tiba-tiba sikat yang digunakan Asiah bagi menyisir rambut anaknya jatuh dengan kehendak Allah.

Asiah yang terkejut dengan kejadian itu terus berkata, “Binasalah Firaun yang dilaknat Allah dengan izinnya.”

“Dengan nama Allah,” ucap Asiah tanpa menyedari anaknya memerhatikan perbuatannya dengan perasaan hairan.

“Ibu, adakah tuhan lain selain ayah? Adakah ibu sudah menganut agama yang dibawa oleh Musa? Mengapa ibu sanggup mengikut agama Musa? Bukankah ibu menyelamatkan Musa sewaktu kecil apabila dia akan dibunuh oleh ayah,” anaknya bertanya pelbagai soalan kepada Asiah dan menanti jawapannya.

“Firaun, ayah kamu adalah manusia biasa seperti kita semua dan bukan tuhan. Tuhan sebenar adalah Allah, tuhan semesta alam!” jawab Asiah tanpa perasaan takut dan gentar.

“Biar saya adukan perkara ini kepada ayah!,” balas anaknya, lalu dia lari keluar dari bilik itu dan pergi mengadu kepada Firaun.

Firaun yang mendengar aduan anaknya berasa sangat marah dengan Asiah. Dia tidak menyangka Asiah sudah mengikut ajaran Allah walaupun dia melarang sesiapa sahaja di Negara Mesir mengikuti ajaran Allah.

Orang yang mengingkari larangan itu akan dijatuhkan hukuman berat jika diketahui oleh Firaun. Kini isterinya sudah mengikut ajaran Allah, maka dia harus berbuat sesuatu supaya isterinya keluar dari agama Allah.

“Dengarlah nasihat saya, wahai Asiah yang amat saya cintai dan sayangi.

“Keluarlah dari agama yang dibawa oleh Musa. Saya akan berikan segala harta dan istana di Mesir sebagai hadiah,” Firaun cuba berlembut dan memujuk Asiah dengan kata-kata manisnya.

“Saya tidak akan sekali-kali keluar dari agama ajaran Musa yang benar dan suci. Nanti saya akan dimurkai oleh Allah, tuhan yang mencipta saya.
“Jika saya tetap dalam agama ini, saya percaya Allah akan memberikan syurga yang lebih baik dari harta dan istana kamu,” tegas Asiah yang tenang dan berani bertentang mata dengan Firaun yang menyala dengan api kemarahan.

Usaha Firaun memujuk isterinya menemui jalan buntu. Dia tidak mahu menghukum Asiah kerana perasaan kasih sayang dan cinta yang mendalam terhadap isterinya. Dia cuba memikirkan cara lain bagi melembutkan hati Asiah supaya dia tidak beriman dengan ajaran nabi Musa.

Namun, semua ikhtiarnya gagal dan tidak menemui jalan penyelesaian. Firaun termenung. Wajahnya terbayang seribu kekecewaan kerana gagal memujuk Asiah. Akhirnya, dia mengambil keputusan menggunakan kekerasan kepada Asiah supaya dia berpaling dari agama Musa.

“Pengawal, tangkap Asiah dan bawa dia berjumpa beta sekarang!,” perintah Firaun dengan nada keras.

“Oleh kerana kamu masih berdegil mahu mengikuti ajaran agama Musa, beta jatuhkan hukuman berat ke atas kamu,” kata Firaun lagi.
“Pengawal, bawa perempuan ini ke tanah tinggi dan ikatkan pada empat batang kayu. Pakukan empat kayu itu ke bumi dengan menelentangkan badan perempuan ini menghadap langit.

“Biarkan bahang matahari yang panas, dan sejuk malam menyeksanya,” Firaun meminta para pengawalnya menjalankan hukuman ke atas Asiah dengan segera.

“Allah! Allah! Allah!,” mulut Asiah tidak henti-henti menyebut kalimat Allah sepanjang hukuman itu dijalankan.

“Ya Allah! Saya mohon supaya dilindungi dari bencana Firaun dan dianugerahkan sebuah rumah di syurga,” doa Asiah yang terseksa dengan pancaran matahari yang sangat panas dan terik.

Akhirnya Asiah dapat melihat rumahnya di syurga dengan kehendak Allah yang membuka hijabnya. Hatinya sangat gembira sehingga lupa pada penderitaan dan kesakitan yang sedang diharunginya.

Selepas beberapa lama tempoh penyeksaan itu berlalu, Asiah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimat Allah di mulutnya.

Begitulah kisah wanita yang berhati waja. Dia tetap dalam keimanannya kepada Allah walaupun diseksa sehingga mati tanpa belas kasihan.

– Artikel iluvislam.com

Read Full Post »

Saad Bin Muaz adalah seorang hamba antara sahabat yang paling hitam pada masa itu, dibandingkan Saad dengan Bilal, Saad dikatakan jauh lebih hitam dari Bilal. Saad mula memeluk Islam ketika berumur 31 tahun dan syahid pada umur 37, seorang yang tinggi iman.

Ketika berhijrah ke Madinah beliau ingin mendirikan rumahtangga lalu dipinangnya perempuan di Madinah. Kerana kulitnya yang hitam pinangannya telah ditolak berkali-kali oleh wanita-wanita Madinah.

Rasa kecewa dengan peristiwa ini lalu beliau mendatangi Rasulullah untuk mengadu, “Wahai Rasulullah, adakah hinanya aku ini kerana kulitku yang hitam sehingga pinanganku ditolak berkali-kali”.

Lalu Rasulullah bekata, “Jangan bimbang Saad, engkau adalah orang yang aku jamin”.

Lalu Rasulullah memanggilkan sahabat-sahabat yang lain untuk bertanyakan kepada meraka akan rumah seorang wanita yang terkenal dengan kecantikannya di Madinah. Lalu Rasulullah menyuruh sahabat-sahabat tersebut membawa Saad untuk meminang atas jaminan Rasulullah. Alangkah gembiranya Saad di saat itu kerana dirinya dijamin oleh Rasulullah untuk dikahwinkan dengan wanita yang cantik.

Maka Saad pun dibawa oleh sahabat-sahabat ke rumah wanita yang cantik di Madinah itu. Ketika sampai di rumah tersebut, Saad dan sahabat-sahabat dilayan oleh bapa kepada wanita tersebut. Lalu sahabat-sahabat yang lain menyampaikan hajat bahawa Saad telah dijamin oleh Rasulullah datang untuk meminang anaknya yang cantik tersebut.

Bapa wanita itu kemudiannya gembira kerana salah faham menyangka anaknya dipinang oleh Rasulullah. Oleh kerana Saad seorang yang jujur lalu dinyatakan maksud yang sebenar bahawa beliaulah yang ingin meminang wanita yang cantik tersebut. Bapa wanita tersebut kemudian bertukar menjadi marah kerana menghina Saad yang berkulit hitam ingin mengahwini anaknya yang cantik.

Saad pun balik berjumpa dan mengadu kepada Rasulullah. Perempuan yang cantik ini kemudian menegur bapanya kerana menolak pinangan Saad kerana Saad adalah seorang yang dijamin oleh Rasulullah, dan ketentuan oleh Allah. Lalu bapa wanita itu pergi mengejar Saad dan meminta maaf dan menerima pinangan Saad di depan Rasulullah.

Rasulullah lalu bertanyakan Saad samada beliau memiliki wang. Kerana mengetahui bahawa Saad tiada wang untuk berkahwin maka disuruhnya untuk meminta wang kepada Abd Rahman, Usman dan Ali. Kemudian Rasullulah menyuruh Saad membeli kelengkapan untuk perkahwinannya.

Ketika sedang membeli keperluan untuk perkahwinannya, Saad terdengar seruan jihad dari Rasulullah. “Wahai pemuda-pemuda Islam bersiap sedia segera kerana musuh sedang datang untuk menyerang kita”. Lalu Saad menukar fikiran dengan membeli kelengkapan perang dan siap sedia dengan baju perisai dan kuda untuk berperang.

Saad dengan segera pergi berbaris paling hadapan dengan sahabat-sahabat lain dengan siap berpakaian perisai perang. Kerana baju perisai yang lengkap, Saad tidak dikenali oleh sahabat-sahabat lain. Takdir Allah Saad telah syahid dalam peperangan tersebut.

Selepas perang jihad tersebut, sahabat-sahabat terkejut kerana tidak menyangka orang yang berperisai lengkap tersebut adalah Saad. Mereka sedih dan tidak menyangka kerana Saad sedang bersiap sedia untuk perkahwinannya.

Berita syahidnya Saad ini segera disampaikan kepada Rasulullah dan Rasulullah berkata, “Di saat kematian Saad, bergegar Arash Allah dan menangis para malaikat di langit dan di bumi”. Saad Bin Muaz dimuliakan oleh Allah di saat kematiannya adalah seorang yang hanya 6 tahun jangka hayatnya dalam Islam.

Tetapi apakah kita yang ketika dilahirkan telah pun Islam akan dimuliakan oleh Allah di saat kematian kita?

– Artikel iluvislam.com

Read Full Post »

Selalu orang cakap hidup bagaikan roda. Tak selalunya kita di atas. Mungkin esok lusa kita di bawah. Tapi adakah itu alasan untuk kita terus mengalah?

Cuba fikirkan kembali ketika kita masih muda, mungkin semasa kita kanak-kanak? Bukankah hidup ini mudah dan seronok bagi kita? Semuanya adalah mungkin, boleh saja dilakukan jika ada kemahuan.

Tapi dalam kita membesar, perkara-perkara yang dahulunya mudah belaka telah menjadi susah lagi menyusahkan. Kenapa ya?
Mungkinkah kita telah dewasa dan mengetahui bahawa betapa susahnya untuk merealisasikan sesebuah perkara?

Ujian untuk Menguji.

Ujian dan dugaan yang menimpa, bukanlah sesuatu yang dapat kita ketahui sebelumnya ianya berlaku.

Allah taala menguji hambaNya dengan ujian yang hambaNya boleh terima. Maka sabar dan senyumlah. Lain orang lain ujiannya.
Allah taala takkan menguji hambaNya jika hambaNya itu tidak mampu. Maka jika kita terpilih untuk melalui ujian itu tempuhlah dengan penuh redha dan tawaduk.

“Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

Setiap perkara yang berlaku, baik buruk mahupun baik, ada hikmahnya. Andai kita gagal dalam ujian ini, mungkin ada hikmahnya. Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita, lebih baik daripada perancangan manusia untuk diri sendiri.

Namun, kita hidup dengan manusia. Terarah dengan jangkaan, harapan dan sangkaan manusia. Sedar atau tidak, kita terpaksa memenuhi semua tuntutan itu. Sehingga kita mungkin lupa yang kehendak Allah jauh melangkau segalanya.

Sesungguhnya, jalan menuju syurga itu adalah dengan kesabaran. Sebab itu, Nabi telah bersabda : “Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian yang terbaik sesudah mereka, kemudian yang terbaik sesudah mereka. Seseorang diuji sesuai kadar agamanya. Jika agamanya kuat, ujiannya berat. Jika agamanya lemah, dia diuji sekadar agamanya. Ujian terus mendera hamba sampai membiarkannya berjalan di muka bumi tanpa menyandang sedikit pun dosa.”

Ya Allah, bila membacanya entah mengapa hati rasa berbunga-bunga. Para sahabat sahabiah dulu, mereka sangat risau bila diri diuji. Mungkin ada yang mahu diuji dan ada yang takut bila diuji.

Namun dengan segenggam kepercayaan bahawa Allah tidak akan menguji hamba-Nya sesuatu yang hamba-Nya tidak mampu pikul. Dan ya, kehidupan sememangnya mengajar erti redha, sabar, tawakal, berharap pergantungan sepenuhnya kepada Allah dan bermacam-macam lagi.
Banyak saja cara Allah nak didik kita. Nak tarbiyyah kita. Semoga Allah akan terus mendidik kita ketika iman masih menebal. Mudahan perasaan cinta kita kepada sang Khaliq akan semakin bertambah.

– Artikel iluvislam.com

Read Full Post »

Older Posts »